Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Hengyi tanam 500 anak pokok

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), Hengyi Industries Sdn Bhd telah melaksanakan Projek Penanaman Semula Hutan ke-6 bersempena Ulang Tahun ke-3 Pentauliahan Loji Penapisan dan Petrokimia Hengyi yang berlangsung di Taman Biodiversiti, Hutan Simpanan Berakas, hari ini.

    Lebih 90 orang pegawai pengurusan dan kakitangan Hengyi serta sukarelawan dari pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan mengambil bahagian untuk menanam sebanyak 500 pohon anak pokok di kawasan tanah seluas 0.5 hektar di hutan simpanan berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian projek berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei
    Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong; Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai; setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, Pengarah Perhutanan, ahli-ahli Autoriti Petroleum, Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Persatuan Perusahaan China di Brunei Darussalam, sukarelawan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), pelajar-pelajar dari Politeknik Brunei yang mengikuti penempatan di Hengyi Industries serta jemputan khas.

    Majlis menyaksikan penanaman anak pokok jenis Cassia Fistula yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf.

    Setelah taklimat mengenai pentingnya usaha penanaman pokok kepada pemuliharaan alam sekitar, projek menyaksikan para peserta dan sukarelawan menyempurnakan penanaman enam jenis spesies anak pokok iaitu Meranti Putih Timbul, Meranti Laru, Selangan Daun Tebal, Kapur Peringgi, Casorina Nobilis dan Meranti Merah Kesumbah.

    Spesies pokok yang dipilih adalah asli bagi Hutan Simpanan Berakas di mana ia lebih berdaya tahan serta boleh tumbuh di kawasan tanah berpasir dan persekitaran lebih kering di hutan simpanan berkenaan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menyiram anak pokok yang baru ditanam.
    Para peserta projek diberikan penerangan mengenai cara-cara yang betul untuk menanam pokok.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...